
Syed Amir dalam kenyataan berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk memberhentikan prosiding undang-undang difailkan awal tahun ini.
Beliau berkata keputusan itu didorong pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said bahawa Akta JAC terbuka untuk penambahbaikan dan kerajaan bersedia melibatkan pihak berkepentingan bagi mengukuhkan proses pelantikan.
“Melihat kepada pendirian jelas kerajaan dan kesediaannya menangani kebimbangan dibangkitkan, saya berpendapat cabaran Perlembagaan tidak lagi perlu pada masa ini,” katanya.
Syed Amir menegaskan saman itu difailkan dengan niat baik untuk meningkatkan kesedaran tentang kekurangan struktur dalam Akta JAC dan mengundang perbincangan awam mengenai perlindungan institusi.
“Saya berharap melalui litigasi ini, kelompok perundangan, Parlimen dan masyarakat sivil kini lebih menghargai implikasi perlembagaan proses pelantikan kehakiman semasa,” jelasnya.
Syed Amir ketika memfailkan saman pemula pada awal April, berhujah kuasa diberikan kepada JAC yang dianggotai sembilan anggota itu melanggar doktrin pengasingan kuasa dan struktur asas Perlembagaan.
Beliau memohon satu perintah mandamus untuk memaksa perdana menteri dan kerajaan supaya mematuhi secara ketat proses pelantikan kehakiman yang diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Beliau selanjutnya mendakwa Akta JAC tidak selaras dengan Perkara 4, yang mengisytiharkan Perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi negara.
Satu permohonan telah difailkan pada 25 Jun untuk merujuk 16 persoalan undang-undang mengenai keperlembagaan JAC kepada Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan.
Persoalan ini, kata Syed Amir, menyentuh peruntukan utama seperti Perkara 122B, 125, dan 132, yang mengawal pelantikan kehakiman, tempoh perkhidmatan, dan perkhidmatan awam.
“Saya dengan hormat menggesa kerajaan mengkajinya dengan niat baik termasuk sama ada pindaan Perlembagaan diperlukan untuk menyerasikan kerangka JAC dengan struktur dan nilai perlembagaan,” tambahnya.