
Hakim Norma Ismail memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ravendejit Kaur mendapatkan laporan kesihatan mental tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43, sebelum prosiding diteruskan.
Peguam Mehgalaa Rajendran yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan.
“Mahkamah membenarkan tertuduh mendapatkan rawatan dan laporan penuh berkaitan kesihatan mentalnya selama sebulan bermula hari ini,” kata Norma yang turut menetapkan 19 Ogos untuk sebutan kes.
Persana Avril didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam satu video palsu di TikTok melalui akaun ‘king.charles.ratu’ memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana dengan niat menyakiti hati orang lain pada 25 Feb.
Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman, Menara KPJ, pada 10 pagi 26 Feb.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.