
Tahun lalu, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tahun lalu mendapati Mahathir berkemungkinan bertindak secara sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri memberhentikan permohonan semakan berhubung kedaulatan Batu Puteh pada 2018, walaupun terdapat pandangan perunding antarabangsa menyatakan permohonan itu mempunyai kemungkinan munasabah untuk berjaya.
RCI mengesyorkan laporan polis dibuat terhadap Mahathir, dengan menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
“Kita ambil keputusan kerana mantan perdana menteri yang umurnya 100 tahun. Apakah dia tak salah…dia salah. Apakah perlu ambil tindakan…saya dan Jemaah Menteri bersetuju jangan ambil tindakan,” kata Anwar dalam Dewan Rakyat.
Batu Puteh, terletak kira-kira 14km di selatan Johor dan 44km di timur Singapura, terdiri daripada batuan granit. Batuan Tengah dan Tubir Selatan masing-masing terletak 1.1km dan 4km dari Batu Puteh.
Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Batu Puteh milik Singapura, manakala Batuan Tengah diberikan kepada Malaysia. Pemilikan Tubir Selatan pula ditentukan berdasarkan persempadanan perairan wilayah.
Pada 2017, Putrajaya telah memohon kepada ICJ menyemak semula keputusannya berhubung Batu Puteh dan turut memohon tafsiran terhadap beberapa kekaburan serta implikasi daripada keputusan tersebut, khususnya berkaitan status Tubir Selatan.
Namun, selepas kemenangan dalam PRU14 pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan dipimpin Mahathir menarik balik kedua-dua permohonan tersebut sebelum ia didengar pada bulan berikutnya.
Berucap dalam Dewan Rakyat, Anwar berkata rundingan antara Malaysia dan Indonesia untuk membangunkan bersama kawasan Ambalat yang kaya sumber minyak di perairan timur Borneo akan melibatkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Beliau berkata, rundingan dijadual berlangsung di Jakarta pada 29 Julai akan melibatkan Hajiji memandangkan sempadan maritim negeri akan dibangkitkan dalam perbincangan berkenaan, dan pandangan Sabah diperlukan sebelum penyelesaian muktamad dicapai.
“Hal ini dalam prosesnya mesti dipersetujui oleh kerajaan Sabah, jadi minggu ini, 29 Julai kita sambung perbincangan di Jakarta dan ketua menteri Sabah juga dalam rombongan, kerana bila ada tajuk perbincangan mengenai sempadan, persetujuan Sabah diperlukan,” katanya.
Malaysia dan Indonesia mengemukakan tuntutan bertindih ke atas blok Laut Ambalat seluas 15,000 kilometer persegi, yang dikatakan mengandungi rizab minyak mentah terbesar dunia.
Bulan lalu, Anwar menyatakan Malaysia dan Indonesia sepatutnya meneruskan usaha membangunkan kawasan tersebut secara bersama tanpa menunggu penyelesaian terhadap halangan undang-undang dan peraturan.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut menyeru agar usaha disegerakan menyelesaikan isu sempadan teknikal dan memulakan projek ekonomi bersama di kawasan seperti Ambalat, melalui satu badan pembangunan bersama.