
RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh 24 Ahli Parlimen.
Beliau berkata, RUU itu digubal bagi menangani kelompongan ketara dalam industri tidak dikawal selia, khususnya perniagaan yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah terdedah kepada eksploitasi.
Ia juga bertujuan menyeragamkan rangka kerja pengawalseliaan dalam landskap kredit pengguna yang ketika ini berbeza-beza di Malaysia.
Di bawah RUU tersebut, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawal selia perniagaan kredit yang kini beroperasi tanpa lesen atau pemantauan khusus.
“RUU (ini) akan dirangka sebagai akta induk bersifat pelengkap kepada akta sedia ada di bawah pentadbiran pihak berkuasa, pengawal selia dan penyeliaan dan tidak menduplikasi fungsi atau peranan kementerian serta agensi sedia ada.
“Ini termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti,” kata Lim ketika menggulung perbahasan RUU di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, pendekatan kawal selia secara bersepadu akan dilaksanakan secara berfasa dengan mengambil kira kesediaan industri serta keupayaan SKP akan dipertingkatkan dari fasa ke fasa seterusnya.
Bagi persediaan Fasa 1, KPKT sebagai pihak berkuasa kawal selia dan penyelia akan memastikan pemberi pinjam wang berlesen mematuhi aspek perlindungan pengguna kredit diperkenalkan melalui RUU tersebut.
Dengan penggubalan RUU itu, KPKT akan mendapat mandat perundangan tambahan untuk mengawal selia perniagaan patuh syariah bagi kedua-dua sektor, iaitu peraturan pinjaman dengan pajak gadai.
KPDN pula akan meminda beberapa peruntukan dalam Akta Sewa Beli 1967 untuk memperkukuh perlindungan pengguna serta memodenkan peruntukan sedia ada.
Mengulas mengenai kadar faedah maksimum dikenakan perniagaan kredit, Lim menjelaskan, kerajaan tidak akan menetapkan sebarang had kadar faedah pada Fasa 1.
“Kita (kerajaan) tidak akan tetapkan (kadar faedah) pada Fasa 1 … bagaimanapun, kita mesti mengumpul data dalam Fasa 1 dan Fasa 2,” katanya menambah, Fasa 2 dijangka bermula pada 2028.
Fungsi kawal selia ketika ini dipegang oleh KPKT dan KPDN akan dipindahkan kepada SKP, termasuk kegiatan pinjaman wang, pajak gadai, sewa beli dan jualan kredit.
Fasa 3 pula, yang disasarkan bermula pada 2031, akan memberi tumpuan kepada penyatuan kawal selia terhadap semua kegiatan kewangan pengguna di bawah satu entiti berpusat selepas kajian menyeluruh dilakukan kerajaan.