PGA rampas bunga ganja RM690,000 di Padang Besar

PGA rampas bunga ganja RM690,000 di Padang Besar

Dadah seberat 23kg itu dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Utara PGA, Shahrum Hashim berkata rampasan itu hasil Op Taring Wawasan Kedah/Perlis oleh sepasukan pegawai dan anggota Kompeni C Batalion 18, PGA Pengkalan Hulu. (Gambar Facebook)
KANGAR:
Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 23kg dadah jenis bunga ganja dianggar bernilai RM690,000 di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar hari ini.

Komander Briged Utara PGA, Shahrum Hashim berkata terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota Kompeni C Batalion 18, PGA Pengkalan Hulu yang menjalankan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis berjaya mengesan pergerakan berdasarkan maklumat kamera litar tertutup (CCTV) pada 5 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan di kawasan sekeliling menemukan satu guni mengandungi dedaun kering disyaki dadah jenis bunga ganja, dipercayai dibawa masuk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bunga ganja itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut oleh Cawangan Risik Batalion 18 PGA sedang dijalankan bagi mengesan individu atau sindiket yang dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Padang Besar, Perlis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.