
Seorang aktivis wanita dan kanak-kanak gesa kerajaan sediakan pusat perlindungan di setiap daerah serta memudahkan prosedur mendapatkan bantuan, berlatarkan jumlah kes keganasan rumah tangga yang masih membimbangkan.
Kerajaan juga harus memastikan masyarakat tahu di mana untuk mendapatkan bantuan, dan yakin keganasan harus ditangani dengan penguatkuasaan undang-undang, katanya.
“Masalah utama ialah ramai yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak tahu ke mana harus pergi,” kata Mona Din, yang pernah terlibat dalam kempen #justiceforBella.
“Laporan polis pula sering tidak membantu kerana dianggap ‘isu dalaman’.”
Mona mengulas laporan bahawa sebanyak 2,467 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Mengupas perkembangan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noraini Ahmad, berkata kajian mendapati kebanyakan penderaan dilakukan orang paling dekat dengan mangsa, bahkan sesetengah tidak sedar didera ke atas emosi.
Dalam pada itu, menurut Mona, rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak terdapat di semua negeri dan pusat perlindungan swasta seperti Women Care Centre sangat terhad serta tidak diketahui umum.
Berkenaan prosedur pula, Mona berkata: “mangsa yang mahu menyelamatkan diri tidak boleh menunggu prosedur panjang seperti perlu membuat laporan polis, dapatkan surat hospital dan sebagainya.”
“Mereka perlukan bantuan segera. Ini soal nyawa.”
Dalam pada itu, Kamal Affandi Hashim, seorang aktivis sosial dan penganalisis jenayah, berkata peningkatan jumlah kes juga menunjukkan ramai tampil membuat laporan.
“Kempen-kempen yang dilakukan berjaya
meraih keyakinan masyarakat untuk menggunakan saluran undang-undang, sebab itu mereka buat laporan. Kalau tak, diam sahaja,” katanya.
Justeru, Kamal menggesa kerajaan meningkatkan kecekapan siasatan dan pendakwaan, yang menurutnya sangat penting ketika semakin ramai tampil melaporkan keganasan.
“Maknanya kalau dia buat dengan pantas, dengan segera mereka (pelaku) akan dituduh,” katanya.
“Kena tengok bagaimana nak tingkatkan kecekapan pendakwaan dan kejayaan pendakwaan. Macam mana kita nak tingkatkan kecekapan siasatan. Macam mana nak pendekkan tempoh masa proses barang kes.”
Kamal turut menegur perbincangan tertumpu pada menurunkan kes berbanding menangani keganasan, mengatakan angka semata-mata tidak boleh beri gambaran tepat.
“Kalau turunkan kes bermakna tak nak orang buat laporan,” katanya.
“Sebaliknya kalau kita lihat daripada keseluruhan ekosistem daripada laporan dan penguatkuasaan, kejayaan pendakwaan dan perlindungan yang ditawarkan, maka sudah tentu ini merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan mangsa untuk tampil dan menggunakan undang-undang.”
Sementara itu, Mona menggesa kerajaan menubuhkan mahkamah khas keluarga dan wanita, dianggotai hakim dan peguam terlatih dalam kes penderaan dan trauma.