Pelaksanaan rasionalisasi RON95 dianjak, kata jurucakap kerajaan

Pelaksanaan rasionalisasi RON95 dianjak, kata jurucakap kerajaan

Fahmi Fadzil berkata terdapat keperluan untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaannya bagi memastikan pengguna tidak terkesan.

Sebelum ini Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025.
KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan subsidi bersasar RON95 mungkin dianjak sedikit dari garis masa dicadangkan sebelum ini iaitu separuh kedua 2025, kata Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk memperhalusi mekanisme dasar mengurangkan ketirisan bahan bakar terbabit bagi memastikan pengguna tidak terkesan.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada semua wakil rakyat dalam pemukiman dengan Ahli Parlimen baru-baru ini.

“Perdana menteri ada menyentuh hal ini dalam pemukiman dengan Ahli Parlimen.

“Beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan negatif kepada majoriti rakyat, samalah juga dasar yang belum dilaksana tetapi telah dibayangkan atau disebut sebelum ini mengenai RON95.

“(Mekanismenya) sedang diperhalusi, itulah yang menganjakkan sedikit garis masa tersebut,” katanya padang sidang media mingguan Kementerian Komunikasi.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua 2025.

Amir berkata, Kementerian Kewangan akan meneruskan pelaksanaan rasionalisasi RON95, namun ketika ini fokus tertumpu kepada perbincangan bagi memastikan golongan yang akan menerima sokongan subsidi dikenal pasti dengan tepat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.