LKAN: 3 ketakteraturan serius dikesan babit Felcra, UKM, Tentera Darat

LKAN: 3 ketakteraturan serius dikesan babit Felcra, UKM, Tentera Darat

Tiga ketakteraturan serius itu membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM460 juta.

2025 Accounting Fraud Working Group KKFP
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata audit 2024 hingga Jun 2025 membantu kerajaan dapat bayaran balik RM157.73 juta, termasuk melalui kutipan penalti, cukai dan denda.
KUALA LUMPUR:
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM460 juta.

Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata terdapat kelemahan tatakelola terhadap perolehan pajakan empat ladang sawit oleh Felcra Berhad melibatkan RM241.76 juta antara 2022 hingga 2024.

Menurutnya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berdepan isu ketakteraturan serius serta kelemahan dalam proses perolehan tiga tender bernilai RM58.45 juta.

“(Selain itu) kelemahan dalam pentadbiran kontrak dan pengurusan perolehan bagi kenderaan perisai Tentera Darat untuk 2020 hingga 2023 meliputi denda RM162.75 juta yang belum dikutip serta denda RM1.42 juta yang belum dikenakan terhadap syarikat kerana kelewatan perkhidmatan senggaraan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perolehan perkhidmatan senggaraan, pembaikan dan pembekalan alat ganti kenderaan perisai bernilai RM107.54 juta juga dilaksanakan secara pecah kecil.

Laporan itu, katanya, turut mengenal pasti kelemahan pelaksanaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), khususnya kegagalan menyasarkan golongan penerima dan pelaksanaan kuota tidak efisien.

“Usaha KPDN untuk mengurangkan kuota bekalan minyak masak bersubsidi sejak 2016 wajar diteruskan. Tindakan tersebut dapat memberikan impak positif dalam usaha membanteras ketirisan melalui pengedaran lebih bersasar selaras syor audit.”

Menurutnya, Kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih yang diperkenalkan Kementerian Kewangan turut didapati mempunyai ruang manipulasi apabila syarikat tidak layak tetap dipilih ke peringkat akhir.

“Syor audit supaya kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak wajar diteruskan dan kaedah perolehan tender terbuka lebih sesuai dilaksanakan bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam proses perolehan.”

Sebanyak lima pengauditan melibatkan tujuh kementerian dilaksanakan dengan nilai keseluruhan program, aktiviti dan projek berjumlah RM48.873 bilion serta 22 syor audit dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan syarikat terlibat.

Wan Suraya turut memaklumkan susulan audit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025 telah membantu kerajaan mendapatkan bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, termasuk melalui kutipan penalti, cukai dan denda.

LKAN 2/2025 dimuat naik dalam Sistem Papan Pemuka Ketua Audit Negara selaras pindaan Akta Audit 1957 yang memberi kuasa kepada ketua audit negara untuk menyusuli tindakan susulan.

Orang awam boleh mengakses laporan itu mulai 10 pagi ini di http://lkan.audit.gov.my dan https://agdashboard.audit.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.