Lihat buli sebagai jenayah, bukan sekadar ‘masalah disiplin’

Lihat buli sebagai jenayah, bukan sekadar ‘masalah disiplin’

Aktivis berkata masih ramai tidak faham kesan dan akibat perbuatan buli.

buli-sekolah
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Wan Azliana Wan Adnan berkata kes buli semakin membimbangkan kerana turut membabitkan pelajar menengah rendah dan sekolah rendah. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Aktivis menyeru pemahaman mengenai ‘buli sebagai jenayah’ diperluaskan lagi, terutama dalam kalangan pelajar agar mereka takut melakukannya.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita, Wan Azliana Wan Adnan, berkata masih ramai tidak faham kesan dan akibat perbuatan itu, baik buli secara fizikal mahupun mental.

“Kalau mereka faham buli adalah perbuatan jenayah, mereka tidak akan melakukannya,” katanya kepada FMT.

“Buli bukan sekadar isu disiplin, tetapi perbuatan jenayah yang boleh dikenakan tindakan mahkamah.”

Wan Azliana mengulas laporan media berhubung kes buli di sekolah kebelakangan ini.

Sabtu lalu, media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah Sungai Petani, Kedah dipercayai menjadi mangsa buli dua rakan sekolah akibat cemburu.

Remaja berusia 13 tahun itu ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat menggunakan tali leher serta mulut ditutup sapu tangan.

Wan Azliana berkata, kes buli semakin membimbangkan kerana turut berlaku dalam kalangan pelajar menengah rendah dan sekolah rendah.

Menurutnya, pemahaman mengenai buli sebagai jenayah juga perlu diperluaskan lagi dalam kalangan ibu bapa dan guru.

“Perbuatan buli bukan sekadar isu disiplin yang hanya boleh diambil tindakan di sekolah semata-mata,” katanya sambil menekankan langkah pencegahan menyeluruh bagi menangani isu buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.