Lelaki maut dihempap pikap terbalik dalam gaung

Lelaki maut dihempap pikap terbalik dalam gaung

Bagaimanapun dalam kejadian di Kapit malam tadi itu, empat lagi mangsa dilaporkan terselamat.

lelaki maut pikap terbalik
Beberapa anggota bomba berusaha mengeluarkan sebuah pikap yang terjunam ke dalam gaung dan menyebabkan seorang mangsa maut semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut manakala empat lagi terselamat selepas pikap dinaiki terjunam ke dalam gaung di Kapit, malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Berain Sinau, 80, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat dihempap kenderaan terbabit, dalam kejadian di Batu 24, Jalan Musah Kajah di Song itu.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.50 malam.

Katanya, mereka kemudian menggerakkan sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song ke lokasi terletak 46 kilometer dari balai sebelum tiba pada 9.23 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah pikap Mitsubishi Triton terbabas dan terjunam jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

“Seorang mangsa dihempap kenderaan itu disahkan meninggal dunia, seorang lelaki berusia 43 tahun mengalami kecederaan dan dihantar oleh orang awam ke Hospital Kanowit.

“Tiga lagi lelaki berusia antara 44 hingga 61 tidak mengalami kecederaan,” katanya, menurut Harian Metro.

Jurucakap itu berkata, bomba dan polis terpaksa meminta bantuan jentolak syarikat pembalakan berhampiran untuk membantu membuka laluan bagi menarik kenderaan mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.