Ismanira nafi wajah ‘kosong’, ‘tiada perasaan’ ketika disiasat

Ismanira nafi wajah ‘kosong’, ‘tiada perasaan’ ketika disiasat

Ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin berkata dia menangis sepanjang malam sebelum keterangannya dirakam polis.

ZAYN RAYYAN PARENTS
Ismanira Abdul Manaf berkata beliau tidak faham mengapa pegawai penyiasat mengatakan wajahnya kelihatan ‘kosong’ dan ‘tanpa perasaan’.
PETALING JAYA:
Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, menafikan wajahnya kelihatan kosong dan tiada perasaan ketika disoal siasat polis berhubung kehilangan anak lelakinya yang berusia enam tahun, yang kemudian ditemui mati.

Ismanira, 30, memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau menangis sepanjang hari ketika mencari Zayn, yang dilaporkan hilang sekitar tengah hari pada 5 Dis 2023, sebelum pegawai penyiasat Nina Syamimi Syamsuddin tiba di apartmennya pada 10.30 malam hari yang sama.

Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira meminta wanita itu menjelaskan dakwaan pegawai polis tersebut semasa prosiding pembelaan.

Nina, saksi keempat pihak pendakwaan, sebelum ini memberi keterangan pada Februari lalu bahawa Ismanira kelihatan kosong dan tiada perasaan ketika kenyataannya dirakam.

Ismanira hari ini berkata beliau tidak faham mengapa Nina mengatakan wajahnya kelihatan kosong.

“Saya ini daripada anak saya hilang, saya sudah alami satu perkara yang perit… gelap. Menangis seharian.

“Semasa dia (Nina) sampai pun sudah lewat malam, fikiran saya cuma pada Zayn kat mana dia,” katanya.

Ismanira berkata selepas gagal menemui Zayn pada hari kejadian, beliau membuat laporan polis kira-kira 4.30 petang dan dimaklumkan supaya menghubungi Nina.

Pegawai itu kemudian mengarahkan beliau pergi ke IPD Petaling Jaya.

Ismanira tiba di sana pada 7 malam namun Nina memaklumkan melalui telefon bahawa beliau sedang mengendalikan satu kes lain dan meminta Ismanira menunggu.

Kemudian, Nina memintanya pulang kerana seorang penduduk memaklumkan polis bahawa mereka melihat Zayn berlari di koridor apartmen.

Ismanira berkata beliau tiba di rumah pada 8.30 malam dan mendapati ramai orang sudah berkumpul di kawasan blok apartmennya untuk membantu mencari Zayn.

Terdahulu hari ini, Hakim Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak autistiknya itu. Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, pula dibebaskan.

Ismanira memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Ketika prosiding, mahkamah terpaksa berhenti kira-kira 10 minit selepas Ismanira dilihat menangis ketika memberikan keterangannya.

Pasangan itu sebelum ini didakwa atas pertuduhan mengabaikan Zayn dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa berlaku antara tengah hari 5 Dis 2023, ketika Zayn dilaporkan hilang, dan 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di sebuah anak sungai berhampiran rumah mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Haresh, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh mewakili pembelaan manakala Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi mewakili pendakwaan.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.