Farhash nafi laporan berita, tuntut permohonan maaf

Farhash nafi laporan berita, tuntut permohonan maaf

Ahli perniagaan itu berkata dakwaan beliau pemilik syarikat yang dianugerahkan lesen penerokaan adalah 'palsu dan fitnah'.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mahu MalaysiaNow membuat permohonan maaf di laman sesawang dan semua saluran media sosialnya dalam tempoh 48 jam.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan satu laporan berita mendakwa sebuah syarikat yang dikaitkan dengan beliau dianugerahkan lesen penerokaan oleh sebuah agensi kerajaan Sabah, dan menuntut permohonan maaf terbuka.

Dalam surat tuntutan yang dikeluarkan peguamnya kepada MalaysiaNow, Farhash berkata tuduhan beliau adalah pemilik Bumi Suria Sdn Bhd, dan syarikat itu dianugerahkan lesen tersebut, adalah ‘palsu dan fitnah’.

Peguam itu berkata Farhash hanyalah seorang pengarah dan pemegang saham Bumi Suria.

“Artikel tersebut secara salah mengaitkan beliau dengan kepentingan dan manfaat peribadi dalam lesen yang tidak wujud, dan mengelirukan bagi memberi gambaran wujud ketidakwajaran politik atau layanan istimewa, yang mana ia adalah merosakkan dan tidak berasas,” menurut surat itu.

Katanya, Farhash mahupun Bumi Suria Sdn Bhd tidak pernah dianugerahkan sebarang lesen penerokaan atau prospek mineral di Sabah.

Peguamnya berkata penerbitan ‘palsu dan bersama dengan sindiran ini’ menyebabkan kerosakan teruk kepada reputasi Farhash.

Mereka juga mendakwa MalaysiaNow tidak menyemak fakta dengan pihak berkuasa kerajaan berkaitan dan dengan itu telah melanggar standard asas kewartawanan.

Mereka menuntut portal tersebut segera menghentikan dan mengulangi penerbitan serta penyebaran artikel berkenaan atau mana-mana kandungannya.

Mereka turut menuntut artikel itu dipadam daripada laman sesawang dan semua saluran media sosial.

“Kami diarahkan untuk menuntut anda menarik balik penuh dan membuat permohonan maaf tanpa syarat secara terbuka, yang perlu diterbitkan dengan jelas di laman sesawang dan semua platform media sosial MalaysiaNow dalam tempoh 48 jam.

“Ambil maklum bahawa sekiranya anda gagal mematuhi tuntutan di atas dalam tempoh yang ditetapkan, anak guam kami berhak untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap organisasi anda dan mana-mana individu yang bertanggungjawab.”

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) menganugerahkan lesen penerokaan kepada Bumi Suria Sdn Bhd bagi tujuan perlombongan arang batu.

Menurut laporan berkenaan, syarikat itu didakwa telah diberi hak eksklusif meneroka dan mencari mineral di kawasan seluas 70,000 hektar di Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.

Dalam kenyataan kepada FMT, Ketua Pegawai Eksekutif SMM, Natasha Sim, menjelaskan agensi kerajaan negeri itu bukan badan mempunyai kuasa menganugerahkan lesen.

Sim turut berkata Bumi Suria tidak pernah diberikan atau dianugerahkan sebarang prospek lesen oleh kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.