
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan sekitar 12 tengahari tadi ketika hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati, suspek sekitar 2023 disyaki telah menawarkan untuk membantu pengadu mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk dari negeri Pahang sedangkan tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
“Suspek secara tidak jujur telah mendorong pengadu memindahkan wang kira-kira RM6,000 bagi pembelian aksesori baju istiadat konon bertujuan untuk mendapatkan darjah kebesaran berkenaan,” menurut sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek.
Jelasnya, suspek dilepaskan selepas membayar deposit tunai RM5,000 daripada RM10,000 wang jaminan yang dikenakan ke atasnya.
Suspek akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.