Bapa Zayn kecewa dengan polis, dakwa pembunuh masih bebas

Bapa Zayn kecewa dengan polis, dakwa pembunuh masih bebas

Zaim Ikhwan Zahari berkata beliau beri kerjasama penuh kepada polis dan percaya mereka akan menangkap pembunuh anaknya.

Zaim Ikhwan Zahari (Depan) dan Ismanira Abdul Manaf
Zaim Ikhwan Zahari, 30, dibebaskan daripada tuduhan mengabaikan Zayn Rayyan Abdul Matin manakala Ismanira Abdul Manaf diarah membela diri.
PETALING JAYA:
Bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin meluahkan rasa kecewa terhadap polis dan siasatan terhadap kematian anak lelakinya, dengan mendakwa pembunuh masih bebas selepas lebih setahun kejadian berlaku.

Zaim Ikhwan Zahari, 30, berkata beliau memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan kematian Zayn dan mempercayai pihak polis untuk menangkap pembunuh anaknya.

“Apa yang boleh saya cakap, saya kecewa dengan pihak polis. Saya bagi kepercayaan kepada polis untuk tangkap pembunuh. Tetapi pembunuh anak saya masih di luar sana.

“Inikah hasilnya? Memang sangat sangat kecewa. Sepatutnya pertuduhan ini tiada. Semua mengarut,” katanya kepada wartawan di luar Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Terdahulu, Zaim dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, manakala isterinya, Ismanira Abdul Manaf, diperintah membela diri atas tuduhan mengabaikan anak autistik mereka.

Ismanira memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Pasangan itu didakwa tahun lalu atas pertuduhan mengabaikan Zayn dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa berlaku antara tengah hari 5 Dis 2023, ketika Zayn dilaporkan hilang, dan 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di sebuah anak sungai berhampiran rumah mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.