Perdana menteri PN ‘tenggelam’ jika Dr M penasihat, kata penganalisis

Perdana menteri PN ‘tenggelam’ jika Dr M penasihat, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata aura Dr Mahathir Mohamad dalam menentukan hala tuju tertentu mungkin menyusahkan perdana menteri PN.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad ketika ini adalah penasihat kepada kerajaan negeri pimpinan PAS iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpandangan kekuatan Dr Mahathir Mohamad akan menenggelamkan perdana menteri Perikatan Nasional (PN) jika bekas Ahli Parlimen Langkawi dilantik sebagai penasihat andai gabungan itu kembali berkuasa.
azmi hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Mahathir bukan sembarangan kerana masih mempunyai aura untuk menentukan hala tuju tertentu walaupun sudah lanjut usia.

“Adakah konsep ‘is either my way or no way’ yang sering diperkatakan Tun M menjadi kekuatan beliau? Ia mungkin tenggelamkan atau menyusahkan perdana menteri daripada PN jika (Mahathir) menjadi penasihat.

“Maka perkara ini perlu diteliti dan difikirkan sebaik-baiknya,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, ‘lebih logik’ untuk PN melantik Mahathir sebagai penasihat ketika ini bagi tujuan menggembleng tenaga memandangkan tiada ikon seumpama itu dalam gabungan tersebut.

Kelmarin, Mahathir dilaporkan berkata beliau tidak berhasrat kembali menyandang jawatan perdana menteri buat kali ketiga, sebaliknya hanya mahu menjadi penasihat jika PN berjaya membentuk kerajaan.

Bekas perdana menteri berkata demikian dalam himpunan mandat negarawan di Kedah yang turut dihadiri pimpinan tertinggi PN termasuk Pengerusi Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang.

Mahathir ketika ini adalah penasihat kepada kerajaan negeri pimpinan PAS iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Beliau yang kini berusia 100 tahun memegang jawatan perdana menteri dua kali iaitu dari 1981 hingga 2003 dan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Mazlan Ali.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata tidak mustahil Mahathir sekali lagi diangkat menjadi perdana menteri jika PN berjaya menubuhkan kerajaan.

Katanya, keupayaan Mahathir sebagai tarikan utama apabila mengetuai sesuatu gagasan.

“Himpunan di Kedah semalam (kelmarin) dilihat ramai yang turun berbanding program seumpama yang dilihat tiada sambutan sebelum ini. Kali ini bila (PN) bawa Tun M berjaya menarik perhatian orang ramai,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan yang ada pada Mahathir tidak kurang daripada pemimpin PN lain sehingga beliau menjadi ‘nadi’ kepada gerakan ‘Turun Anwar’ sekarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.