Pengasas program eHati disiasat Jais, 90 diambil keterangan

Pengasas program eHati disiasat Jais, 90 diambil keterangan

Peguam mewakili pengasas syarikat itu M Reza Hassan berkata anak guamnya dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin dan kini disiasat Jais.

HUSSEIN OMAR KHAN
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata 90 individu yang dipanggil itu ialah fasilitator, peserta dan kakitangan syarikat motivasi terbabit.
PETALING JAYA:
Polis sudah mengambil keterangan 90 individu bagi membantu siasatan ke atas program motivasi rumah tangga eHati dikendalikan sepasang suami isteri.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata mereka ialah fasilitator, peserta dan kakitangan syarikat terbabit.

“Polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh, termasuk dakwaan ritual bertentangan syarak,” katanya menurut Berita Harian.

Pada 16 Julai lalu, pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga, seorang anak mereka dan tiga lagi individu direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 dan 294 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Sementara itu, peguam mewakili pengasas syarikat terbabit, M Reza Hassan, berkata anak guamnya yang dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin kini disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Mereka disoal siasat Jais semalam selepas dibebaskan dengan jaminan.”

Terdahulu, Hussein dilapor mengesahkan terdapat aktiviti bogel dilakukan empat individu dalam program eHati di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 Sept 2024.

Katanya, aktiviti itu berlaku pada malam dikenali ‘Queens Night’ anjuran syarikat terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.