
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pendekatan sedemikian bukan sesuatu yang baharu dalam PAS, malah menjadi sebahagian strategi propaganda parti itu yang sering menampilkan imej lebih Islamik berbanding pihak lain.
“Saranan Mokhtar lebih kepada untuk meraih laba politik dengan menggunakan faktor PAS memperjuangkan Islam. Jadi, ini dikatakan tidak lebih daripada propaganda (menjelang pemilihan),” kata felo Majlis Profesor Negara kepada FMT.
Pada 15 Julai lalu, tanpa merujuk kepada pemimpin tertentu ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu berkata seeloknya pimpinan parti meniru bekas menteri besar Kelantan Ahmad Yakob yang mengayuh basikal ke masjid untuk menunaikan solat.

Untuk rekod, sebelum ini tular beberapa klip menteri besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor menunjukkan kemahirannya bernyanyi di TikTok.
Menjelang pemilihan dijadualkan September, Mokhtar antara pemimpin PAS kerap bersuara yang antaranya mahu pimpinan parti terus dikuasai kumpulan ulama.
Sementara itu, Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, andaian kumpulan ulama ingin menguasai jawatan presiden sehingga lima kerusi naib presiden bukan sesuatu luar jangka malah mereka sudah mendominasi kepimpinan tertinggi sejak awal 1980-an.
Katanya, bagaimanapun jika kumpulan itu merasakan ada ancaman terhadap pengaruh tradisional mereka terutama daripada golongan profesional maka usaha untuk mengekalkan dominasi melalui pengisian kerusi tertinggi adalah logik.

“Kumpulan ulama mungkin khuatir pendekatan lebih terbuka dan inklusif dibawa golongan bukan ulama akan mengaburkan sempadan dakwah dan siasah.
“Namun, penolakan terus terhadap gaya baru dalam pendekatan politik juga boleh menyebabkan PAS ketinggalan dari segi pengaruh terutama dalam kalangan pengundi muda yang lebih terdedah kepada media sosial dan pendekatan moden,” katanya.