‘Itu pandangan peribadi’, Tuan Ibrahim ulas harapan ulama terhadap pentadbiran Anwar

‘Itu pandangan peribadi’, Tuan Ibrahim ulas harapan ulama terhadap pentadbiran Anwar

Tuan Ibrahim Tuan Man dari PAS mengulas kenyataan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah yang berharap pentadbiran Anwar Ibrahim dikekalkan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap kepada media selepas rasmi Muktamar Pemuda PAS Selangor.
KLANG:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan seorang ulama yang berharap pentadbiran Anwar Ibrahim dikekalkan sebagai pandangan peribadinya.

Tuan Ibrahim berkata Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah itu boleh memberi pandangannya seperti orang lain.

“Itu pandangan peribadi beliau.

“Kalau tukar lain (perdana menteri) mungkin lebih baik ekonomi, dari segi itu itu kita ada pakar-pakar kemuka pandangan lebih baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS Selangor.

Malam tadi, Wazir dalam ceramah pada Program Malaysia Bermunajat dipetik berkata beliau berharap pentadbiran Anwar dapat dikekalkan yang menurutnya bagi mengelakkan kesan kepada perkembangan Islam dan ekonomi.

Menurut penasihat Kesatuan Pondok Kelantan itu, perubahan kerajaan yang terlalu kerap hanya akan menjejaskan kehidupan rakyat termasuk perkembangan sekolah pondok dan menyebabkan ekonomi menjadi malap.

Harapan beliau itu disuarakan ketika ada pihak tertentu terutama pembangkang berusaha menjatuhkan perdana menteri menerusi himpunan di Kuala Lumpur pada 26 Julai depan.

Pembangkang merancang menganjurkan Himpunan Turun Anwar itu dengan menyasarkan kehadiran 300,000 orang, meningkat berbanding sasaran awal 50,000 peserta.

Semalam, Anwar mencabar pengkritiknya supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya mereka mahu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Tegasnya, pembangkang boleh menunggu sehingga PRU akan datang jika gagal mendapat sokongan di Dewan Rakyat bagi usul terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.