
Sejak dua tahun lalu, Azizah, 76, tidak lagi dipanggil menjayakan watak itu kerana masalah kesihatan. Kini dia kembali cergas dan aktif menyelesaikan urusan harian seperti biasa.
“Saya masih tidak puas jadi Nobita. Kami sudah sebati. Bila orang lain bawa watak Nobita, penonton bertanya-tanya. Mereka cari saya dan itu buat saya terharu. Rupanya orang masih ingat dan sayang,” katanya kepada FMT.

Bagi kanak-kanak 80-an, suara Nobita, Doraemon dan rakan-rakan membentuk memori zaman kecil. Bagi Azizah sendiri, menghidupkan watak Nobita bukan sekadar proses alih suara tetapi penjiwaan watak.
“Suara tak mengenal usia. Selagi ada jiwa, saya masih boleh hidupkan watak-watak itu seperti dulu,” katanya.
Azizah terharu apabila pihak produksi asal dari Jepun berkeras mahu suara Nobita dan Doraemon dikekalkan meskipun pemain watak lain silih berganti.
“Watak lain boleh silih berganti, tapi bukan Nobita dan Doraemon.
“Produksi Jepun sendiri minta suara asal dikekalkan — mereka mahu suara dan jiwa yang sama.”
Sepanjang kerjayanya sebagai pengalih suara, Azizah menyumbang suara bagi drama Oshin, Crayon Shin-Chan, Dragon Ball, Naruto, Teletubbies, Spongebob SquarePants, Detective Conan, Robocar Poli, Avatar, CatDog, Tom & Jerry dan banyak lagi.
Namun seperti ramai artis suara lain, Azizah berdepan realiti seperti bayaran rendah, kurang pengiktirafan, dan industri yang seakan semakin menutup ruang untuk insan alih suara.
FMT sebelum ini menyiarkan kisah rakan alih suaranya, Ruhaiyah Ibrahim, pemilik suara Doraemon dan Charl Fitri (Tarzan) bergelut untuk bertahan dalam industri.
Azizah yang selama ini bergantung pada pendapatan alih suara masih memasang impian untuk kembali beraksi sebagai Nobita.
“Suara pelakon mungkin berubah, tapi tidak jiwa.”