Dulu rakam Doraemon siang malam, kini alih suara makin sunyi

Dulu rakam Doraemon siang malam, kini alih suara makin sunyi

Ruhaiyah Ibrahim dan Charl Fitri, dua nama besar dalam dunia alih suara imbau zaman kegemilangan industri yang semakin sepi.

antara animasi popular
Antara animasi popular yang dialih suara Ruhaiyah Ibrahim dan rakan-rakan.
PETALING JAYA:
Pemilik suara Doraemon versi Malaysia, Ruhaiyah Ibrahim, 58, masih ingat kehidupannya dahulu sebagai pengalih suara sangat sibuk, adakalanya terpaksa bermalam di studio.

Ketika itu, beliau dan rakan pengalih suara bekerja sehingga tiga syif sehari untuk menjayakan ratusan siri animasi serta drama dari pelbagai negara seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Brazil, Turki, dan banyak lagi.

“Dulu kami macam ‘kilang suara’. Projek alih suara memang tak putus. Ada masa sampai tak cukup suara.

“Kalau penonton suka, mereka tulis surat puji dalam surat khabar. Tak macam sekarang, semua pakai media sosial,” katanya kepada FMT, mengakui pernah meraih sehingga RM7,000 sebulan sekitar tahun 1996.

Namun, semua itu kini hanya tinggal kenangan. Ruhaiyah mengakui dunia alih suara tidak lagi semeriah dahulu. Projek hampir tiada, produksi semakin terhad, dan ramai pelakon suara bertarung untuk terus kekal dalam industri.

Beliau sendiri sudah lama tidak dipanggil untuk merakam suara Doraemon, watak yang sudah sebati dengannya selama hampir 30 tahun.

ruhaiyah
Ruhaiyah masih ingat ketika ditemani suami dan anak-anak bermalam di studio rakaman alih suara.

“Rasa rindu tu tetap ada. Kadang-kadang kalau orang minta saya buat suara Doraemon di kenduri kahwin pun saya buat. Segan itu ada, tapi kalau boleh buat orang senyum, saya okey.”

Ruhaiyah juga meminjamkan suaranya kepada pelbagai animasi popular lain seperti Dragon Ball, Sailor Moon, SpongeBob SquarePants, Detective Conan, Naruto, Crayon Shin-chan, Robocar Poli, Avatar, CatDog, dan Tom & Jerry.

Seorang lagi pengalih suara, Charl Fitri, 48, pemilik suara Tarzan versi siri animasi televisyen, bergelut mengekalkan tempat dalam industri yang semakin mengecil.

Bakatnya dicungkil sendiri oleh Ruhaiyah sekitar 2004 ketika hadir ke uji bakat secara suka-suka. Fitri tidak mempunyai latar belakang seni, namun berjaya membuktikan kemampuan dan menjadi antara suara utama saluran kanak-kanak ketika itu.

“Saya bukan orang seni. Masuk uji bakat pun suka-suka. Tapi tiba-tiba dapat watak Tarzan, dan dari situ saya terus belajar.”

tarzan n ruhaiyah
Charl dan Ruhaiyah menceritakan suka-duka selama membuat alih suara.

Wataknya pelbagai seperti Tarzan, Papa Nobita, Mr. Pink (itik dalam Kung Fu Panda), King Julien (Madagascar), dan juga narator dokumentari National Geographic versi bahasa Melayu.

Suaranya yang macho dan lantang menjadikan beliau antara pilihan utama untuk watak lelaki aksi dan dewasa.
Namun kini, peluang semakin sempit. Fitri mengakui perlu bekerja lebih keras untuk merebut apa sahaja ruang yang masih terbuka.

“Sekarang saya buat macam-macam — beri latihan suara latar, jadi juruacara, dan juga rakam suara untuk iklan serta kandungan digital.”

Walaupun industri kini tidak lagi berpihak kepada mereka, Ruhaiyah dan Fitri yakin bakat veteran masih relevan jika diberi peluang sewajarnya.

“Kami bukan kejar populariti. Tapi kalau pernah buat orang ketawa, menangis, belajar – suara kami patut masih ada tempat,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.