
PETALING JAYA: Tiga lelaki berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi hilang selepas bot dinaiki mereka karam di sebatang sungai di Ladang Temenggong, Kinabatangan.
Mangsa hilang ialah Adzly Kassim, 46.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata sepasukan anggota mengambil masa tiga jam untuk sampai ke lokasi terletak kira-kira 115km selepas menerima panggilan pada 11.49 pagi tadi.
Setiba di lokasi, beliau berkata, pasukan itu mencari mangsa di sekitar lokasi bot karam menggunakan bot penduduk kampung.
“Operasi mencari juga membabitkan polis dan orang awam di situ. Setakat ini, mangsa belum ditemui,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, operasi ditangguhkan 5.30 petang tadi atas faktor cuaca dan akan disambung esok.