Titah adendum: Zahid sampai hasrat Umno kepada PM dalam masa terdekat

Titah adendum: Zahid sampai hasrat Umno kepada PM dalam masa terdekat

Presiden Umno Zahid Hamidi kata hasrat itu akan disampaikan dalam suatu pertemuan sehari dua ini.

Presiden Umno Zahid Hamidi mahu bertemu perdana menteri berhubung desakan 145 ketua bahagian partinya berkenaan titah adendum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi akan menyampaikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hasrat akar umbi parti itu berhubung titah adendum berkait Najib Razak dalam masa terdekat.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri dilapor berkata hasrat itu akan disampaikan dalam suatu pertemuan sehari dua ini.

“Kita bukan mahu beliau campur tangan urusan mahkamah, cuma mudah-mudahan dapat menggunakan budi bicara sebagai perdana menteri melalui tatakelola dan perundangan sedia ada,” katanya lapor Berita Harian, selepas merasmikan mesyuarat Umno Tampin, Negeri Sembilan.

Semalam, Anwar mengumumkan beliau sedia berbincang dengan pimpinan Umno berhubung titah adendum membabitkan Najib, yang juga bekas presiden parti itu.

Katanya, beliau sedia memberi penjelasan sekiranya perlu atau melakukan apa yang baik ‘untuk menjaga keharmonian’.

Kelmarin, media melaporkan seramai 145 ketua Umno bahagian mendesak Anwar segera mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan titah adendum bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Mereka menegaskan ia sebagaimana diperkenankan oleh Agong terdahulu, sekali gus tiada lagi alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya, lapor Berita Harian.

Pada Jan lalu, Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.

Istana Negara berkata mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.