PSM belum putus sertai gabungan lain

PSM belum putus sertai gabungan lain

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata parti itu hanya mempunyai ikatan persefahaman dengan Muda dan Parti Rakyat Malaysia.

arutchelvan
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata keputusan menyertai mana-mana gabungan politik hanya boleh dibuat Kongres PSM selaras tradisi demokratik sentralisme diamalkannya.
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) belum membuat keputusan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) atau mana-mana gabungan baharu.

Timbalan Pengerusinya, S Arutchelvan, berkata PSM hanya mempunyai ikatan persefahaman dengan Muda dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Sebelum ini, katanya, PSM pernah mempunyai persefahaman politik dengan Gagasan Demokrasi Rakyat (GDR) dan Pakatan Rakyat (PR).

Tetapi, beliau berkata, keputusan menyertai mana-mana gabungan politik hanya boleh dibuat Kongres PSM selaras tradisi demokratik sentralisme diamalkannya.

Menurutnya, Pengerusi PN dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mempelawa PSM menghadiri perjumpaan blok parti pembangkang.

“Kami telah menghadiri perjumpaan tersebut kerana ia tidak bercanggah dengan pendirian PSM untuk hadir jika dipanggil mesyuarat oleh mana-mana parti politik.

“Muhyiddin melontarkan cadangan termasuk satu persefahaman merentasi parti politik pembangkang. PSM menyambut baik dan memberikan pandangan, namun tidak ada sebarang keputusan untuk PSM menyertai PN atau gabungan baharu,” katanya menurut Sinar Harian.

Jumaat lalu, Muhyiddin menemui 11 ketua parti blok bukan kerajaan bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan penubuhan barisan rentas parti yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Antara yang hadir Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan Presiden Putra Ibrahim Ali, Pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz, Pengerusi Urimai P Ramasamy dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia P Waytha Moorthy.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.