
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata kenyataan Rahman berhubung kesilapan Barisan Nasional (BN) keluar dari kerajaan Sabah dalam ‘Langkah Kinabalu’ pada 2023 itu mungkin dibuat selepas melihat kelemahan jentera dan struktur akar umbi parti.
“Hal ini menunjukkan strategi keluar kerajaan tanpa pelan pemulihan jelas boleh memberi kesan jangka panjang terhadap persepsi pengundi dan keupayaan parti bersaing secara efektif.
“Pandangan Rahman juga mungkin didorong kesedaran terhadap realiti politik Sabah yang semakin kompleks di mana parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan semakin dominan manakala Umno dilihat membawa ‘bagasi persekutuan’,” katanya kepada FMT.

“Umno Sabah kini berada dalam kedudukan paling lemah dalam sejarahnya.”
Bagaimanapun, beliau berpendapat kelemahan itu bukan penamat kepada BN dalam merebut sebanyak mungkin kerusi daripada 73 DUN dipertandingkan, jika mereka dapat mencipta naratif baharu yang menyentuh aspirasi rakyat.
“Walaupun ada perbezaan namun kedua-dua tokoh masih mengekalkan struktur kepimpinan formal dan Bung sendiri menyatakan itu perkara biasa dalam parti.
“Sekiranya Umno mampu menyatukan jentera akar umbi, membina pakatan strategik dengan parti lain dan menawarkan manifesto relevan, peluang mencipta kejutan masih wujud walaupun sukar,” katanya.
Rabu lalu, Rahman dilaporkan media berkata keputusan Umno Sabah keluar kerajaan negeri pada Januari 2023 sebagai satu kesilapan besar kerana melemahkan pengaruh parti itu dan sukar menjaga kepentingan rakyat.
Menurut timbalan ketua Umno Sabah berkenaan, tindakan itu mengakibatkan mereka kehilangan empat menteri, enam pembantu menteri dan lebih 2,000 jawatan akar umbi yang sebelum ini dipegang oleh pemimpin-pemimpin parti itu.
Bung pula meminta timbalannya berhenti mengungkit perkara lepas dan menegaskan tindakan menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Hajiji Noor bukan keputusan beliau sendiri, sebaliknya dibuat bersama kepimpinan Umno negeri.
Sejak beberapa tahun lalu, Bung dan Rahman beberapa kali dilihat berbalah, termasuk tahun lalu apabila Rahman menjemput Hajiji ke satu mesyuarat bahagian yang turut dihadiri Presiden Umno Zahid Hamidi.
Pada Mac lalu, mereka sekali lagi berbalah berhubung kawasan mana yang patut Rahman bertanding dalam pilihan raya negeri.

Lee Kuok Tiung yang juga dari UMS berpendapat berada dalam kerajaan sememangnya memberi kelebihan, menyebabkan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menjadi sebahagian pentadbiran Sabah selepas ‘Langkah Kinabalu’
Menurutnya, sebahagian wakil rakyat Umno turut bersama GRS manakala sebahagiannya diketuai Bung menjadi pembangkang.
“Mengambil 14 kerusi yang dimenangi (BN) pada PRN16 (2020), jelas menunjukkan berlakunya perpecahan,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata harapan masih terbuka buat Umno walaupun dilihat rapuh dalam situasi semasa kerana masih mempunyai akar umbi kukuh.
“Rahman sendiri mengakui jentera akar umbi Umno masih kuat walaupun berhadapan situasi getir.
“Ini asas penting untuk gerakkan jentera ketika kempen, namun perlulah lebih menyeluruh,” katanya.