Pembuat kek OKU diperdaya, rugi lebih setengah juta

Pembuat kek OKU diperdaya, rugi lebih setengah juta

Mangsa ditawarkan pekerjaan untuk menjual barangan permainan kanak-kanak melalui aplikasi TikTok.

scammers
Seorang OKU kerugian lebih setengah juta ringgit selepas tertipu dengan tawaran kerja tidak wujud.
GEORGE TOWN:
Seorang pembuat kek orang kurang upaya (OKU) kerugian lebih setengah juta ringgit selepas tertipu dengan tawaran kerja tidak wujud, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kejadian bermula pada awal Disember tahun lepas apabila mangsa lelaki berusia 45 tahun itu menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali dan berkenalan dengan suspek seorang wanita.

“Mangsa ditawarkan pekerjaan untuk menjual barangan permainan kanak-kanak melalui aplikasi TikTok dan dijanjikan keuntungan antara 10% hingga 15%.

“Lelaki itu bersetuju dengan tawaran tersebut sebelum diminta mengeluarkan wang untuk menampung kos harga barangan yang ditempah oleh pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Alwi berkata mangsa yang terpedaya membuat 41 transaksi berjumlah RM523,350 daripada akaun peribadi ke lima akaun bank berbeza melalui mesin deposit tunai antara 18 Dis 2024 hingga 14 Julai lepas.

Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pekerjaan tersebut seperti dijanjikan malah suspek dikatakan masih meminta bayaran tambahan.

“Mangsa tampil membuat laporan polis semalam di IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.