Jho Low guna pasport palsu Australia hidup mewah di China, kata wartawan

Jho Low guna pasport palsu Australia hidup mewah di China, kata wartawan

Pengarang 'Billion Dollar Whale' Bradley Hope dan Tom Wright berkata mereka mempunyai bukti Low Taek Jho tinggal di kawasan ultra mewah di Shanghai.

Low Taek Jho passport
Wartawan penyiasatan Bradley Hope dan Tom Wright berkata mereka mempunyai bukti Low Taek Jho menggunakan pasport palsu Australia dengan nama ‘Constantinos Achilles Veis’.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali Jho Low didakwa tinggal di kawasan kejiranan eksklusif di Shanghai dan menggunakan pasport palsu Australia, menurut wartawan penyiasatan Bradley Hope dan Tom Wright.

Menerusi strim langsung di YouTube semalam, dua wartawan itu berkata, mereka mempunyai bukti daripada pelbagai sumber dan dokumen baru ditemui menunjukkan Low tinggal di rumah agam Green Hills, “kejiranan ultra mewah” di Shanghai, China.

Mereka dipetik Variety berkata, Low menggunakan pasport palsu Australia dengan nama “Constantinos Achilles Veis” untuk menyembunyikan identitinya.

Hope dan Wright turut mendakwa Low sedang bekerja sebagai “ahli strategi di belakang tabir untuk kerajaan China” dan peranannya didakwa termasuk membantu syarikat dari China yang disekat “menangani kesulitan di seluruh dunia”.

Hope dan Wright ialah bekas wartawan Wall Street Journal yang mendedahkan banyak kisah awal 1MDB dan menulis bersama buku “Billion Dollar Whale” berhubung skandal itu.

Mac lalu, beberapa wartawan penyiasatan dan peminat mata wang kripto melancarkan sistem ganjaran syiling meme dalam usaha terbaharu menjejaki Low.

Hope berkata, sistem ganjaran menggunakan syiling meme dikenali $JHOLOW bertujuan mendapatkan maklumat mengenai Low.

Sambil menyifatkannya “percubaan besar dalam kewartawanan penyertaan”, Hope berkata ia ujian untuk melihat sama ada nilai syiling boleh didorong bukan saja spekulasi, tetapi oleh nilai maklumat yang membantu mendedahkannya.

Maklumat tentang lokasi Low akan disemak pasukan “moderator” dan individu menyalurkan maklumat disahkan serta berguna akan diberikan token kripto.

Jumlah ganjaran berbeza, bergantung kepada nilai maklumat diberikan.

Low, yang berdepan pertuduhan di Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan mendalangi penyelewengan USD4.5 bilion daripada 1MDB, dikatakan berada di Macau sebelum ini, walaupun Beijing menafikan ia melindunginya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.