Warga emas didenda RM6,000 beri maklumat palsu mohon MyKad

Warga emas didenda RM6,000 beri maklumat palsu mohon MyKad

Abdah Said mengaku salah beri maklumat palsu untuk mohon kad pengenalan seorang kanak-kanak guna sijil lahir anaknya.

Mahkamah Majistret Kuantan
Mahkamah Majistret Kuantan mengarahkan Abdah Said dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda RM6,000 kerana beri maklumat palsu untuk memohon kad pengenalan seorang kanak-kanak pada 2012. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan selepas mengaku bersalah beri maklumat palsu untuk permohonan kad pengenalan seorang kanak-kanak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menjatuhkan hukuman denda itu selepas Abdah Said, 65, membuat pengakuan bersalah selepas tuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

Tengku Eliana juga mengarahkan Abdah dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan 12 tahun untuk seorang kanak-kanak dengan menggunakan sijil kelahiran anaknya di kaunter JPN Kuantan pada 9.49 pagi, 28 Sept 2012.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Abdah yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman diringankan atas alasan dia sudah berusia, tidak bekerja dan mempunyai tiga anak.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN, Mohammad Yusaini Yunan memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan tersebut bersifat serius kerana melibatkan dokumen rasmi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.