‘Town hall’ kecoh, penduduk bantah cadangan pejabat landskap di Bukit Kiara

‘Town hall’ kecoh, penduduk bantah cadangan pejabat landskap di Bukit Kiara

Penduduk bimbang ia akan mengakibatkan tanah runtuh susulan tiga insiden sebelum ini.

Hannah Yeoh Ahmad Syaharuddin Kamaruddin
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh (berbaju kurung merah jambu) bersama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Ahmad Syaharuddin Kamaruddin pada sesi town hall semalam.
KUALA LUMPUR:
Sesi town hall membincangkan cadangan pembinaan pejabat Jabatan Landskap Negara yang melibatkan pembersihan sebahagian hutan di Bukit Kiara, menjadi tegang selepas penduduk mendakwa kebimbangan mereka tidak diendahkan.

Sebahagian penduduk berkata ia akan mengakibatkan tanah runtuh, dengan menyatakan bahawa tiga kejadian tanah runtuh telah berlaku di kawasan itu.

Cerun di lokasi cadangan pembinaan itu telah ditarah.

Manakala penduduk yang tinggal di sepanjang Jalan Abang Haji Openg di Taman Tun Dr Ismail pula bimbang kehilangan lebih banyak kawasan hijau.

Tindakan jurucakap dari Jaaz Architects Sdn Bhd, yang dianggap mengetepikan kebimbangan itu menyebabkan penduduk berang.

Keadaan mula tegang apabila wakil yang membentangkan pelan bangunan menjawab soalan penduduk mengenai keperluan tempat letak kereta di cadangan pejabat itu.

Penduduk mencadangkan agar pejabat baharu itu mesra pengangkutan awam selain mempersoalkan kesan pembangunan terhadap alam sekitar.

Menurut jurucakap, projek dicadangkan itu hanya mengambil sebahagian kecil rizab hutan.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh kemudian campur tangan dan bertanya kepada Jabatan Landskap Negara mengenai jumlah pokok yang akan ditebang.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan itu Ahmad Syaharuddin Kamaruddin, berkata kira-kira 300 pokok akan ditebang, tetapi 85% daripadanya adalah pokok getah, yang merupakan ‘spesies invasif’.

Beliau berkata jabatan itu akan menanam semula kira-kira 600 pokok.

Dia sebelum itu juga berkata jabatan terbabit memerlukan pejabat di Bukit Kiara bagi memenuhi keperluan penduduk di sekitar kawasan dengan lebih baik.

Beliau berkata terdapat keperluan melakukan penyelenggaraan trek secara berkala untuk pendaki, membuang pokok tumbang dan penyelidikan mengenai flora dan fauna di hutan simpan.

“Sekarang ini, kami perlu melakukan perjalanan jauh dari Putrajaya ke Taman Tun Dr Ismail (untuk melakukan kerja penyelenggaraan). Ia tidak praktikal,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.