
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas nasihat Anwar dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai ketua hakim negara, Abu Bakar Jais sebagai presiden Mahkamah Rayuan, dan Azizah Nawawi sebagai hakim besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Anwar menerangkan pelantikan berkenaan dibuat melalui proses telus, bermula dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, dibawa kepada Agong, dan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.
Anwar berkata dakwaan campur tangan terbukti meleset, selepas berminggu-minggu beliau dikecam dan difitnah.
“Saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan dibuat Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Agong maka padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita, selepas solat Jumaat.
Anwar antara lain menyentuh dakwaan kononnya beliau menonjolkan bekas peguam negara Ahmad Terriruddin Mohd Salleh untuk jawatan ketua hakim negara.
“Beliau (Terriruddin) punya banyak tahun lagi, nama beliau tidak pernah pun diusulkan,” katanya, sambil meminta orang ramai merenung asal dakwaan tersebut.
“Jadi mana? Hanya dari sebaran daripada kalangan tokoh-tokoh peguam yang politik?”
Dalam pada itu, Anwar meminta orang ramai supaya bersabar mengenai pelantikan hakim lain, mengatakan nama yang diperkenan oleh Agong akan dimaklumkan kelak.
Katanya, hal ini tidak akan jadi isu politik dengan sedikit kesabaran dan kebijaksanaan.
“Jadi siapa yang mencerca, memfitnah, merosakkan badan kehakiman? Krisis apa ya? Saya tidak buang mana-mana hakim. Saya tak hantar hakim ke tribunal,” katanya.
Titah adendum
Mengulas perkembangan lain, Anwar mengumumkan beliau sedia berbincang dengan pimpinan Umno berhubung titah adendum membabitkan bekas presiden parti itu, Najib Razak.
Beliau turut mengambil maklum ramai ketua Umno bahagian membangkitkan isu tersebut baru-baru ini.
“Saya sedia mengadakan perbincangan dengan mereka, memberi penjelasan sekiranya perlu atau melakukan apa yang baik untuk menjaga keharmonian,” katanya.
Semalam, media melaporkan seramai 145 ketua Umno bahagian mendesak Anwar segera mengambil tanggungjawab penuh melaksanakan titah adendum bagi membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Mereka menegaskan ia sebagaimana diperkenankan oleh Agong terdahulu, sekali gus tiada lagi alasan untuk melengah-lengahkan pelaksanaannya, lapor Berita Harian.
Pada Jan lalu, Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Istana Negara berkata mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong pada mesyuarat akan datang.