
SKMM dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima aduan individu tersebut memuat naik hantaran palsu berkait isu pelantikan ketua hakim negara di Instagram.
“Sesi rakaman percakapan ke atas individu berkenaan dijalankan di IPD Petaling Jaya pada 2.30 petang tadi.
“Turut disita satu unit telefon bimbit dan satu unit kad sim,” kata kenyataan itu.
Menurut SKMM, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
SKMM menegaskan, pihaknya memandang serius terhadap penyebaran kandungan palsu dan jelik melampau yang menyentuh integriti institusi kehakiman negara.
Terdahulu, aktivis dikenali sebagai Ratu Naga dilaporkan hadir memberi keterangan di IPD Petaling Jaya dipercayai berkaitan hantaran media sosial mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan jawatan badan kehakiman.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek selaku peguam mewakili Ratu Naga, atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah berkata, anak guamnya itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat yang dimaklumkan kepada kami, siasatan ini berkaitan satu video yang dimuat naik oleh Syarul Ema Rena yang mengkritik peranan perdana menteri dalam krisis kehakiman yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar, lapor Utusan Malaysia.