
Mereka yang kebanyakannya ahli Pemuda Pakatan Harapan menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai di kedutaan berkenaan, menerusi beberapa wakil.
Di bawah pantauan polis, peserta yang sebahagiannya memakai keffiyeh melaungkan slogan seperti ‘Tolak Nick Adams’ dan ‘From the river to the sea, Palestine will be free’.
Timbalan Ketua Pemuda PKR Izuan Kasim, berkata nilai dan pandangan Adams bercanggah dengan Malaysia, khususnya berkenaan Palestin.
Beliau menuduh Adams sebagai seorang yang Islamofobik, misoginis, dan pro-Israel.
“Ini tiga sebab utama mengapa kami menolaknya sebagai duta besar baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan.
Memorandum mereka mendesak AS menarik balik pencalonan Adams dan melantik calon yang lebih sensitif pada norma budaya Malaysia.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda DAP Iskandar Fareez menyeru AS mempertimbangkan pencalonan seorang duta bukan lantikan politik yang boleh memperkukuh hubungan dua hala.
“Antara kenyataan Adams ialah jika anda tidak menyokong Israel, maka anda menyokong pengganas. Ini jelas bertentangan dengan pendirian kita di Malaysia. Bagaimana kita boleh berdialog dengan seseorang yang bersikap melulu?”
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar, memberi amaran bahawa bantahan akan diadakan jika pelantikan Adams disahkan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata terlalu awal untuk kerajaan membuat keputusan sama ada pencalonan Adams patut diterima.
Anwar menyatakan kerajaan akan mengikut protokol dalam meneliti pelantikan duta.