Pasangan cari swasta kerana ‘kekurangan’ dalam program kerajaan, kata pakar

Pasangan cari swasta kerana ‘kekurangan’ dalam program kerajaan, kata pakar

Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata sesetengah pasangan cari alternatif kerana program kerajaan tiada modul intervensi bersifat holistik dan kontemporari.

Pakar berkata pasangan berdepan masalah rumah tangga terdorong kepada program entiti swasta kerana mencari alternatif lebih ‘moden’ atau ‘berani’. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Ketiadaan modul intervensi yang bersifat holistik dan kontemporari dalam program kerajaan antara sebab pasangan berdepan masalah rumah tangga terdorong kepada program anjuran entiti swasta, menurut pakar.

Di celah-celah kekurangan itu, orang ramai tertarik mencuba program ‘penyembuhan trauma’ dan ‘transformasi diri’ ditawarkan entiti swasta, yang menggunakan pendekatan lebih emosi dan bersifat rohani, menurut Kartini Aboo Talib @ Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kartini Aboo Talib
Kartini Aboo Talib.

“Ketiadaan modul intervensi yang bersifat holistik dan kontemporari dalam program kerajaan menyebabkan sesetengah pasangan mencari alternatif yang lebih ‘moden’ atau ‘berani’,” kata timbalan pengarah Institut Kajian Etnik UKM itu kepada FMT.

Pengetahuan turut menjadi faktor mendorong pasangan menyertai program entiti swasta, kata Kartini yang menarik perhatian kepada kekeliruan antara pembangunan diri dan amalan bercanggah apabila program menggunakan istilah motivasi tetapi mengandungi unsur ritual, seksualiti bebas, atau sinkretisme.

Katanya, pasangan yang pernah menyertai program kerajaan pula mungkin enggan tampil lantaran stigma sosial terhadap bantuan kerajaan, terutama berkaitan isu rumah tangga dan mental.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan orang ramai kurang terdedah pada program kerajaan seperti Talian Kasih, Pusat Sokongan Sosial Setempat, dan kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Penjelasan ini muncul di sebalik kontroversi mengenai program motivasi rumah tangga yang didakwa mengandungi unsur jelik dan fahaman meragukan.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, menasihati wanita yang mengalami tekanan hidup atau menghadapi masalah rumah tangga menggunakan saluran betul bagi mendapatkan bantuan serta sokongan.

Zaireeni Azmi
Zaireeni Azmi.

Sementara itu, Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia berkata modul dalam program kerajaan perlu disesuaikan mengikut perubahan zaman, seperti dilaksanakan pihak swasta.

Beliau berkata, sesuatu program tidak seharusnya terlalu fokus pada teori, perlu berpijak pada realiti masalah, memberi ruang kepada meluahkan perasaan, dan membina kekuatan diri.

“Kerajaan mungkin boleh mencontohi pendekatan digunakan swasta, asalkan ia tidak terpesong, melampaui batas, atau menyalahi akidah serta nilai agama dan budaya kita,” kata pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender USM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.