
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memaklumkan siasatan masih berjalan malah mungkin akan ada tangkapan tidak lama lagi.
“Beberapa pempengaruh media sosial dan pengasas produk kosmetik dari negeri ini masih berada di bawah pemantauan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah.
“Mereka yang terbabit dalam kegiatan dadah ini akan kami kesan satu demi satu,” katanya lapor Berita Harian, mengulas tindakan penguatkuasaan lebih agresif terhadap sindiket dadah di Kelantan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sejak awal tahun ini, polis melancarkan beberapa operasi berimpak tinggi di Kelantan, yang membawa kepada penangkapan besar-besaran dan rampasan dadah berskala besar, serta membongkar cubaan menyeludup dadah secara kreatif.
Semalam, timbalan menteri besar Kelantan beritahu FMT bahawa kerajaan negeri membulatkan tekad menjadi model negeri bebas dadah menerusi inisiatif untuk memperkukuh usaha pencegahan dan pendidikan dalam masyarakat.
Mohamed Fadzli Hassan berkata mendukung usaha membanteras dadah adalah selaras dasar Membangun Bersama Islam di negeri itu.
Bulan ini sahaja dilaporkan polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di Kelantan.
Pada 3 Julai lalu, polis menahan enam individu dan merampas pil kuda seberat 35.4kg bernilai RM5.04 juta dalam enam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat.
Kemudian pada 11 Julai, polis menahan suami isteri dan merampas pelbagai dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.1 juta.
Yusoff dilapor berkata, polis tidak menolak kemungkinan sindiket ditumpaskan baru-baru ini mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa.