
Keputusan itu dibuat susulan prosiding pendengaran pada 7 Julai lalu, di mana mahkamah meneliti hujahan berhubung merit permohonan Malaysia membatalkan award muktamad yang kontroversi berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam kenyataan.
Kes itu merupakan sebahagian prosiding undang-undang yang sedang berjalan di Perancis bagi menentukan kesahan award berkenaan yang dikeluarkan pada 2022 oleh penimbang tara tunggal melalui proses timbang tara yang menjadi pertikaian.
Azalina berkata, semasa prosiding pada 7 Julai, pihak penuntut cuba menangguhkan perbicaraan bagi memberi maklum balas terhadap pandangan bertulis yang dikemukakan pendakwa raya Perancis.
Namun, mahkamah menolak permintaan itu dan meneruskan prosiding seperti dijadualkan.
“Malaysia menzahirkan keyakinan penuh terhadap proses kehakiman Mahkamah Rayuan Paris serta keputusan yang bakal diumum,” kata Azalina.
Beliau berkata, keputusan itu dijangka membawa ‘pengakhiran muktamad’ terhadap tuntutan kumpulan Sulu.
Azalina turut berkata, Malaysia terus memperjuangkan pembangunan satu kerangka global meletakkan ketelusan sebagai teras utama dalam pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga, sambil menekankan kerangka sedemikian adalah penting demi memastikan mekanisme bertujuan meningkatkan akses kepada keadilan tidak disalahgunakan sebagai ‘alat peperangan undang-undang’ terhadap negara berdaulat.
“Integriti timbang tara antarabangsa mesti dipelihara daripada cubaan memaksa negara berdaulat melalui tuntutan timbang tara tidak berasas,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan menyatakan pihak yang mendakwa waris Sulu telah menerima pembiayaan daripada syarikat pembiayaan litigasi berpangkalan di London, iaitu Therium.
Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini telah menangguhkan prosiding pembatalannya sementara menunggu keputusan daripada Mahkamah Kasasi Perancis.
Keputusan tersebut yang disampaikan pada 6 Nov 2024 mengekalkan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Rayuan Paris yang menolak penguatkuasaan award separa dalam kes sama, yang mana penimbang tara, Gonzalo Stampa, mendakwa mempunyai bidang kuasa.
Terdahulu, Azalina menyatakan beberapa keputusan mahkamah terkini yang memihak Malaysia telah mengukuhkan lagi kedudukan undang-undang negara dalam kes tersebut, termasuk sabitan jenayah oleh Mahkamah Rayuan Perancis terhadap Gonzalo Stampa atas kesalahan menghina mahkamah.
Kes itu berpunca daripada pertikaian berlarutan dengan Malaysia berhubung bayaran tahunan kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sulu, yang menjadi pampasan penyerahan Sabah kepada Syarikat Borneo Utara pada 1878.
Malaysia menghentikan bayaran berkenaan selepas pencerobohan bersenjata Sulu pada 2013 yang bertujuan menuntut kedaulatan ke atas Sabah.
Lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang kini tidak lagi wujud telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol, bagi menuntut pampasan berbilion dolar Amerika Syarikat daripada Malaysia.
Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid telah melantik Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara bagi kes tersebut.
Pada 28 Feb 2022, Stampa telah memihak kepada kumpulan berkenaan dan mengeluarkan award muktamad USD14.9 bilion melalui proses timbang tara yang tidak sah, walaupun pelantikannya sebagai penimbang tara dibatalkan mahkamah di Sepanyol.
Malaysia kemudian meraih beberapa kemenangan undang-undang dalam kes terbabit, termasuk pada November tahun lalu susulan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran undang-undang dikemukakan kumpulan itu.
Ia bermakna asas asal award muktamad tersebut, yang mewajibkan Malaysia membayar pampasan USD14.9 bilion, tidak diiktiraf mengikut undang-undang Perancis.