Remaja mengaku salah rogol penuntut universiti, peras ugut

Remaja mengaku salah rogol penuntut universiti, peras ugut

Seorang lagi rakannya berusia 19 tahun tidak mengaku atas dua pertuduhan itu yang berlaku di sebuah kebun sawit.

gavel
Mahkamah Majistret benar ikat jamin ke atas Alif Hakim Hamil, 19, dan rakannya masing-masing RM2,000 dan RM3,000 bagi pertuduhan peras ugut. (Reuters pic)
PETALING JAYA:
Remaja 17 tahun mengaku salah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Muar masing-masing atas kesalahan merogol seorang penuntut dan memeras ugut teman lelakinya, awal bulan ini.

Namun, rakannya, Alif Hakim Hamil, 19, tidak mengaku salah bagi kedua-dua pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 376 (1) dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan

Mengikut pertuduhan rogol, Alif Hakim bersama-sama rakannya itu didakwa merogol penuntut berusia 20 tahun di sebuah kebun sawit antara 9 hingga 11.30 malam, 7 Julai.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala Alif Hakim diwakili peguam, Salmi Hamdan Sabran.

Hakim Nariman Badruddin kemudiannya menetapkan 14 Ogos untuk serahan dokumen dan membenarkan ikat jamin RM8,000 ke atas Alif Hakim.

Menurut Berita Harian, mahkamah menetapkan syarat tambahan kepada Alif Hakim perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memeras ugut teman lelaki penuntut berusia 21 tahun dengan meminta menyerahkan wang tunai RM250 dengan kejadian berlaku pada waktu, lokasi, dan tarikh sama.

Bagi kesalahan ini, mereka boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan ataupun mana-mana dua hukuman ini.

Majistret Suzana Mokhtar kemudiannya menetapkan 28 Sept ini untuk fakta dan perintah serta laporan akhlak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) terhadap tertuduh bawah umur itu.

Mahkamah turut menetapkan pada tarikh sama terhadap Alif Hakim untuk serahan dokumen.

Mahkamah membenarkan pesalah juvana itu diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan, manakala Alif Hakim, dikenakan RM2,000 bagi kesalahan peras ugut itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Sapian, dan Nur Ameerah Allaudeen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.