
Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Jaafar, berkata pihaknya mengesan kenyataan yang tular terbabit menerusi aplikasi Facebook pada 1.41 pagi tadi.
“Pemilik akaun tersebut yang juga seorang wanita warga Taiwan telah memuat naik kenyataan bahawa dia ditahan semasa sekatan jalan raya dan diperas ugut oleh anggota polis.
“Susulan itu, polis menjalankan siasatan lanjut dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulnizam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti anggota polis yang terlibat dan siasatan sedang dijalankan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius dakwaan terbabit dan tiada kompromi ke atas anggota yang mengambil kesempatan sama ada terhadap warganegara mahupun bukan warganegara serta mencemar nama baik pasukan.