PM kecam serangan Israel ke atas Damsyik

PM kecam serangan Israel ke atas Damsyik

Anwar Ibrahim berkata serangan itu pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.

Israel melancarkan serangan udara pada Rabu ke atas Damsyik yang menyasarkan Kementerian Pertahanan Syria serta kawasan berhampiran Istana Presiden. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu Israel ke atas Damsyik yang disifatkan sebagai pencabulan terhadap kedaulatan Syria serta telah meragut nyawa orang awam yang tidak berdosa.

“Serangan ini merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Syria telah menanggung penderitaan yang amat dahsyat sepanjang lebih sedekad, dan rakyatnya berhak menikmati keamanan, bukannya terus menjadi mangsa keganasan atau campur tangan asing.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria dan menggesa agar pencabulan seperti ini dihentikan serta-merta, di samping menyeru komitmen semula terhadap prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang,” ujar beliau lagi.

Israel melancarkan serangan udara pada Rabu ke atas Damsyik yang menyasarkan Kementerian Pertahanan Syria serta kawasan berhampiran Istana Presiden.

Serangan itu berlaku ketika Israel meneruskan serangannya di wilayah Suwayda di selatan Syria, dengan alasan bagi melindungi komuniti minoriti Druze, sambil memberi amaran bahawa operasi akan diteruskan selagi pasukan Syria tidak berundur.

Tentera Syria sebelum itu telah dihantar ke kawasan terbabit bagi memulihkan ketenteraman susulan pertempuran antara kumpulan bersenjata Druze dan Badwi yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 nyawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.