Pindaan Akta Perikanan rangkumi hukuman lebih berat, kata Mat Sabu

Pindaan Akta Perikanan rangkumi hukuman lebih berat, kata Mat Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, denda semasa bawah akta itu lebih rendah berbanding denda di Thailand dan Indonesia.

mohamad sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, pindaan Akta Perikanan juga bertujuan menambah baik dasar-dasar sedia ada. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pindaan Akta Perikanan akan merangkumi hukuman lebih berat bagi pelbagai kesalahan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pindaan itu bertujuan menaikkan kadar denda agar setanding dengan yang dikenakan oleh negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

“Jika kita bandingkan denda yang dikenakan sekarang, ia lebih rendah berbanding di Thailand dan Indonesia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Walaupun tidak memperincikan tentang hukuman lebih berat bawah cadangan pindaan itu, Mohamad berkata, ia akan digunakan untuk menyekat penggunaan pukat-pukat tertentu dan bahan pencemar laut, antara lainnya.

“Pindaan ini pada asasnya penambahbaikan bagi dasar-dasar sedia ada,” jelasnya.

Mohamad juga berkata, pindaan itu akan merangkumi hukuman yang lebih berat bagi nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan tentang jenis hukuman tersebut.

Menurut Mohamad, pindaan itu akan dibentangkan untuk bacaan pertama apabila Dewan Rakyat bersidang pada akhir bulan ini, dan akan dibentangkan untuk bacaan kedua pada Ogos.

Pada September tahun lepas, Bernama melaporkan Jabatan Perikanan berkata, Akta Perikanan 1985 (Akta 317) akan dipinda untuk mengawal selia kegiatan akuakultur dengan lebih baik dan mempertingkat langkah-langkah biosekuriti.

Ketua pengarahnya, Adnan Hussain berkata, pindaan itu akan menangani isu-isu seperti penangkapan ikan secara haram, tidak terkawal dan tidak dilaporkan (IUU), kawasan perlindungan marin serta Penilaian Impak Perikanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.