Petronas dibenar kemuka bukti baharu dalam rayuan injunksi

Petronas dibenar kemuka bukti baharu dalam rayuan injunksi

Mahkamah Rayuan juga benar Petros rujuk invoisnya sendiri bagi tuntut bayaran RM600 juta daripada Shell MDS.

petronas petros
Petronas merayu untuk ketepikan injunksi interim bagi mendapatkan bayaran RM523 juta untuk bekalkan gas kepada Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan Petronas mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya untuk mengetepikan injunksi interim diperoleh Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd sementara menunggu penyelesaian kes mahkamah berkaitan.

Awal tahun ini, Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd diberikan injunksi yang membolehkan syarikat itu meneruskan operasi tanpa gangguan sehingga prosiding undang-undang antara Petronas dan syarikat minyak milik Sarawak, Petros, diselesaikan.

Petros sebelum ini memfailkan saman untuk menghalang Petronas daripada menggunakan dana berjumlah RM7.95 juta yang diperoleh di bawah jaminan bank yang sebelum ini diberikan oleh Petros bagi bekalan gas.

Tahun lalu, Shell MDS memfailkan saman interplider bagi menentukan sama ada Petronas atau Petros yang berhak menerima bayaran bagi bekalan gas di fasiliti Bintulu miliknya.

Petronas dan Petros dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut.

Petronas menegaskan bahawa ia berhak menerima bayaran itu kerana ia pihak bertanggungjawab secara langsung membekalkan gas tersebut.

Petros pula mendakwa ia berhak ke atas bayaran itu mengikut undang-undang Sarawak yang melantik syarikat tersebut sebagai agregator dan pembekal gas di negeri berkenaan.

Hari ini, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Azimah Omar membenarkan Petronas dan Petros merujuk kepada pengisytiharan bersama yang ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan Premier Sarawak Abang Johari Abang Openg dalam rayuan injunksi tersebut.

Petronas juga dibenarkan mengemukakan bukti bahawa jumlah tertunggak yang perlu dibayar oleh Shell MDS kini berjumlah RM523 juta.

Petros pula dibenarkan merujuk invoisnya sendiri bagi menuntut bayaran sebanyak RM600 juta daripada Shell MDS.

Turut menganggotai panel tersebut ialah Hakim Wong Kian Kheong dan Ismail Brahim.

Mahkamah akan mendengar rayuan injunksi tersebut pada 11 Ogos.

Peguam Cyrus Das, Khoo Guan Huat dan Azian Aziz mewakili Petronas, manakala Foo Joon Liang mewakili Petros.

Peguam Christopher Leong dan Janet Lim pula mewakili Shell MDS.

Awal tahun ini, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi mengeluarkan injunksi bagi membolehkan Shell MDS meneruskan operasi tanpa gangguan sementara prosiding mahkamah berlangsung.

Akta Pembangunan Petroleum 1974 memperuntukkan hak eksklusif kepada Petronas ke atas semua operasi petroleum di seluruh negara.

Bagaimanapun, susulan pindaan pada 2023, Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 menetapkan Petros sebagai satu-satunya agregator gas di negeri tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.