Permohonan maaf SPRM tak bermakna kes ditutup, kata Loke

Permohonan maaf SPRM tak bermakna kes ditutup, kata Loke

Setiausaha agung DAP itu berkata SPRM mengakui ada tanggungjawab kerana Teoh Beng Hock mati ketika dalam tahanannya.

Anthony Loke Siew Fook
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata parti itu sentiasa konsisten memberikan sokongan kepada keluarga Teoh Beng Hock, khususnya menerusi saluran undang-undang.
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menyambut baik permohonan maaf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kematian Teoh Beng Hock pada 2009, menyifatkannya sebagai sesuatu yang sudah lama tertangguh.

Loke berkata permohonan maaf SPRM itu juga merupakan satu pengakuan terhadap tanggungjawab tertentu atas kematian Teoh dan tidak bermaksud kes tersebut sudah ditutup.

Ketika ditanya sama ada beliau melihatnya sebagai satu pengakuan bersalah, menteri itu berkata: “Saya serah kepada SPRM untuk menjawab.”

“Perkara ini sudah terlalu lama. Ini kali pertama SPRM membuat permohonan maaf secara terbuka dan saya fikir itu yang sekurang-kurangnya mereka boleh lakukan.

“Itu satu tanggungjawab yang SPRM sendiri akui – bahawa Teoh meninggal dunia ketika berada dalam tahanan mereka. Fakta itu telah diakui oleh (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Azam Baki, sebab itu permohonan maaf terbuka dibuat.

“Seperti yang saya katakan, permohonan maaf ini sudah terlalu lama tertangguh. Tetapi itu tidak bermaksud kes ini sudah ditutup. Pihak berkuasa lain seperti polis perlu teruskan siasatan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini.

Loke berkata parti itu sentiasa konsisten memberikan sokongan kepada keluarga Teoh, khususnya menerusi saluran undang-undang.

“DAP sentiasa memberikan sokongan guaman. Sepanjang masa, peguam mereka ialah Ramkarpal Singh, yang juga pemimpin DAP dan sebahagian daripada pasukan guaman kami. Jadi saya ingin tegaskan bahawa DAP tidak pernah tidak menyokong keluarga ini,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu turut menegaskan bahawa sumbangan ihsan yang ditawarkan oleh kerajaan menerusi SPRM ‘tidak bermaksud kes ini telah ditutup’.

“Kes ini kekal belum selesai dan dibuka,” katanya.

Teoh meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas disoal siasat berjam-jam oleh SPRM di pejabat suruhanjaya itu di Selangor.

Satu inkues dijalankan dan koroner memberikan keputusan terbuka. Namun, Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan oleh ‘satu atau lebih individu tidak dikenali’, termasuk pegawai SPRM.

Pelbagai siasatan dijalankan ke atas kes ini, termasuk siasatan polis atas tuduhan kurungan salah pada 2019, namun semuanya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.

Semalam, Azam berkata pihaknya bersedia memberi sumbangan ihsan kepada waris Beng Hock bagi kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.

Azam turut menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga Teoh atas penderitaan telah ditanggung sepanjang 16 tahun pemergiannya.

Bagaimanapun, keluarga Teoh menolak tawaran dan permohonan maaf Azam, dengan menyifatkannya sebagai tidak ikhlas, langsung tidak menunjukkan rasa kesal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.