
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pangkalan haram itu terletak di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah yang menjadi laluan utama aktiviti rentas sempadan tanpa izin.
“Struktur geografi dan kedudukan pangkalan haram berhampiran penempatan awam menyebabkan ia sukar dipantau secara berterusan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata, 54 lelaki dan 17 wanita dari empat negara ditahan merentas sempadan secara haram melalui Sungai Golok sejak 1 Jan hingga 14 Julai tahun ini.
Semua tangkapan dibuat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 membabitkan 42 rakyat Malaysia, Thailand (26), Pakistan (dua) dan seorang Myanmar.
Menurutnya, majoriti tangkapan dilakukan di pinggir Sungai Golok yang menjadi laluan utama penduduk kedua-dua negara untuk merentas sempadan sebelum ini.
“Meskipun arahan penutupan sudah lama dikeluarkan, masih ada yang cuba mengambil kesempatan menggunakan laluan haram tanpa memikirkan risiko keselamatan dan undang-undang.”
Katanya, ada yang memberi alasan merentas sempadan untuk membeli-belah, melawat saudara-mara atau berhibur, manakala segelintir lagi mencari pekerjaan dalam sektor tidak formal seperti pembinaan, perladangan dan restoran.
Terdapat juga tangkapan membabitkan aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi.
Sejak arahan penutupan jeti dan pangkalan haram dikeluarkan Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat pada Disember 2024, penduduk sempadan yang mempunyai saudara-mara di negara jiran terpaksa menggunakan laluan sah menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) meskipun bagi urusan ringkas.
Tindakan itu turut menjejaskan pengendali bot di Sungai Golok kerana kekurangan pelanggan memandangkan orang ramai tidak lagi berani merentas sempadan sesuka hati.
Nik Ros Azhan berkata, PGA bersama agensi keselamatan lain akan terus mempertingkatkan kawalan sempadan bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Mana-mana individu yang mahu berurusan di negara jiran perlu menggunakan laluan sah dan mematuhi undang-undang imigresen.”
Pada 5 Julai lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, penguatkuasaan di sempadan negara perlu diperkasa menerusi penugasan anggota lebih ramai, penambahan aset keselamatan serta kerjasama bersepadu semua agensi terlibat.
Katanya, kewujudan puluhan laluan tidak sah di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand menimbulkan kebimbangan terhadap kawalan keselamatan negara.