Kes lelaki ancam pengusaha agensi pelancong diklasifikasi NFA

Kes lelaki ancam pengusaha agensi pelancong diklasifikasi NFA

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata lelaki berusia 36 tahun itu dibebaskan daripada tahanan reman.

NORHIZAM BAHAMAN
Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata lelaki itu dibebaskan selepas timbalan pendakwa raya mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kes seorang lelaki yang baru-baru ini ditahan kerana didakwa mengugut pengusaha sebuah agensi pelancongan berkait pertikaian pakej pelancongan ke Jepun diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, berkata lelaki berusia 36 tahun itu dibebaskan daripada tahanan reman selepas klasifikasi NFA dibuat oleh timbalan pendakwa raya.

Norhizam sebelum ini dilaporkan berkata polis akan memohon perintah reman terhadap lelaki itu, susulan laporan polis yang dibuat oleh pengusaha agensi terbabit, sepasang suami isteri, berhubung insiden pada 22 Julai 2024.

Beliau berkata lelaki itu dari agensi pelancongan lain dan dikenali oleh pasangan tersebut.

Norhizam turut mengesahkan lelaki itu mempunyai kaitan dengan seorang pemandu pelancong sambilan yang mendakwa dirinya diugut bunuh dan dipukul oleh seorang pengusaha pelancongan Malaysia di sebuah rumah sewa di Jepun pada 24 Januari lalu.

Bagaimanapun, lelaki yang ditahan itu bukan individu yang terlibat dalam kejadian di Jepun itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan wanita berkenaan mendakwa dipukul, kepalanya dihentak ke besi katil serta diugut bunuh oleh suspek.

Wanita itu berkata beliau membuat laporan polis di Jepun serta melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Tokyo.

Beliau turut membuat laporan di IPD Sepang dan menjalani pemeriksaan perubatan sebaik pulang ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.