
Kumpulan penjenayah itu yang berjaya ditumpaskan dipercayai aktif mencuri kabel pencawang komunikasi di negeri itu dengan mengesan kedudukan kemudahan berkenaan menggunakan Google Maps.
Ketua Polis Pendang Rodzi Hassan, berkata tangkapan pertama dibuat pada 5.50 petang 10 Julai lalu.
Beliau berkata, susulan penahanan tiga suspek, polis kemudian dibawa ke sebuah inap desa di Taman Sinar Intan, Sungai Petani dan menahan seorang lagi suspek selepas pemeriksaan menemukan sejumlah peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel.
“Pada 13 Julai, polis berjaya menahan dua lagi lelaki di tepi jalan di Aman Jaya, Sungai Petani yang dipercayai anggota geng berkenaan dan seorang lagi lelaki yang disyaki membeli tembaga yang diproses daripada geng terbabit,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Pendang.
Rodzi berkata, modus operandi kumpulan terbabit yang semuanya terdiri warga tempatan adalah dengan menyewa rumah inap dan menggunakan kereta sewa untuk melakukan aktiviti jenayah berkenaan.
“Siasatan mendapati geng ini juga akan melihat kedudukan pencawang melalui aplikasi Google Maps serta mencari jalan masuk ke kawasan pencawang terbabit. Mereka menggunakan jaket dan topi keselamatan bagi mengelirukan orang ramai.”
Beliau berkata, semua ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan curi serta dadah dan hasil saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut hingga 19 Julai ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Rodzi berkata, dengan penangkapan semua suspek ini, polis yakin dapat menyelesaikan 22 kes curi kabel pencawang telekomunikasi di daerah ini sejak Jan hingga semalam.
Beliau berkata, selain Pendang, suspek mengaku melakukan kegiatan jenayah itu di daerah Sik, Yan, Alor Setar, Sungai Petani, dan Penaga, Pulau Pinang yang melibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM145,000.