
Armizan berkata, langkah itu yang merupakan satu reformasi penting dalam tadbir urus kerajaan negeri, adalah antara kandungan manifesto GRS di bawah teras Sabah United (Sabah Bersatu), lapor Sinar Harian.
“Komitmen ini telah pun dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet kerajaan negeri pada Disember 2023 lalu. Kita membuat keputusan untuk mengehadkan tempoh seorang ketua menteri kepada hanya dua penggal berturut-turut.
“Bagaimanapun, kerana kita tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu, kita memutuskan supaya pindaan kepada perlembagaan negeri ini hanya akan dibawa ke DUN selepas kita memperoleh mandat baharu daripada rakyat,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Tayangan Komersial Short Film Sabah dan Tayangan Perdana filem Impak Maksima 2 di Papar, Sabah malam tadi.
Katanya, GRS kini dalam proses menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pindaan itu dan akan dibawa ke sidang DUN sebaik memperoleh sokongan majoriti dua pertiga dalam PRN akan datang.
“Kalau ada individu yang berbakat dan masih mendapat sokongan, beliau boleh kembali selepas berehat satu penggal. Tapi yang penting, dua penggal itu mesti secara berturut-turut sahaja,” katanya.
Menurutnya, pendekatan ini akan menjadi sebahagian daripada kerangka besar manifesto GRS yang kini berada dalam peringkat perbincangan bersama parti-parti komponen.