Disyaki curi barang kemas, lelaki kena pukul direman

Disyaki curi barang kemas, lelaki kena pukul direman

Selain itu polis sedang kesan tiga lelaki yang dipercayai memukulnya.

handcuff
Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Jay January Siowou, berkata lelaki itu dipukul tiga lelaki kerana dakwaan kecurian barang kemas. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki sedang dikesan bagi membantu siasatan kejadian pukul seorang lelaki dekat Nibong Tebal yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Jay January Siowou, berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi dua minit lima saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipukul dan dipaksa masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh tiga individu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 7.16 malam semalam dan dipercayai berpunca daripada dakwaan kecurian barang kemas melibatkan mangsa.

“Dalam rakaman itu, tiga lelaki dilihat memukul mangsa di bahagian kepala dan badan tanpa menggunakan sebarang senjata sebelum memaksanya masuk ke dalam kenderaan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, mangsa telah menerima rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan di muka serta kepala dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Jay January berkata, lelaki itu juga ditangkap untuk siasatan bagi satu kes curi dan kini direman hingga 20 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.