20 ditahan, ratusan kondom, ubat HIV dirampas dalam perjumpaan gay

20 ditahan, ratusan kondom, ubat HIV dirampas dalam perjumpaan gay

Polis berkata 20 lelaki itu mengaku menghidap HIV dan menyediakan perkhidmatan percuma kepada individu berminat.

handcuff
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya mendapat maklumat kumpulan itu menyewa sebuah banglo untuk acara makan-makan dan dihadiri hampir 100 individu.
PETALING JAYA:
Polis menahan 20 lelaki dan merampas ratusan kondom serta ubat HIV ketika menyerbu perjumpaan kumpulan gay di sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu pada 1 pagi pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya mendapat maklumat kumpulan gay itu menyewa sebuah banglo untuk acara makan-makan dan hasil risikan mendapati pertemuan itu dihadiri hampir 100 individu.

“Namun, ketika serbuan dilakukan, sebahagian besar sudah pulang dan 20 lelaki ditahan. Kita turut merampas ubat HIV dan kondom.

“Kita percaya pertemuan itu diadakan untuk aktiviti hubungan terlarang berdasarkan penemuan kondom dan ubat HIV, namun aktiviti hubungan itu belum lagi dilakukan,” katanya menurut Berita Harian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis di Kota Bharu.

Beliau berkata, 20 lelaki dalam soal siasat mengaku menghidap HIV dan menyediakan perkhidmatan percuma kepada individu berminat.

Menurutnya, tiga daripada 20 lelaki itu sudah didakwa di mahkamah kerana terdapat video hubungan terlarang dalam telefon bimbit mereka.

“Semua yang menyertai pertemuan itu adalah orang Kelantan dan masing-masing mempunyai pekerjaan. Majlis pertemuan itu juga dimuat naik di media sosial untuk menarik lebih ramai peserta.”

Katanya, risikan lanjut sejauh mana aktiviti itu berlaku di Kelantan akan dijalankan.

“Kita tidak tahu sejauh mana serius kes ini di Kelantan memandangkan ini kes pertama. Namun, kita akan tingkatkan risikan lanjut bagi mengekang kegiatan itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.