Keselamatan negara, pelantikan hakim antara fokus mesyuarat Majlis Raja-Raja

Keselamatan negara, pelantikan hakim antara fokus mesyuarat Majlis Raja-Raja

Majlis turut membincangkan cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape sepenuhnya di Malaysia.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, yang berlangsung di Istana Negara hari ini dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Isu keselamatan negara, pelantikan hakim dan cadangan pengharaman vape, antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, yang berlangsung di Istana Negara hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata mesyuarat tersebut dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Pada hari ini, majlis disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Mohd Nizam Jaffar,” katanya.

Syed Danial berkata mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pelantikan hakim termasuk hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, selain pelantikan hakim besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, presiden Mahkamah Rayuan serta ketua hakim negara.

“Majlis juga mengambil maklum cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.

“Turut dibentangkan ialah pandangan hukum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-126 dan 127, serta Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI 2025,” katanya.

Selain itu beliau berkata majlis turut diberi maklum mengenai keperluan pendaftaran perkahwinan melibatkan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, serta kertas keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak secara berpusat.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Arif Bendahara Pahang Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib.

Mesyuarat itu turut dihadiri menteri besar dan ketua menteri serta wakil premier Sarawak.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 di Istana Negara.

Kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan pada 5 Feb, dipengerusikan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.