Keluarga Beng Hock tolak permohonan maaf SPRM, dakwa tak ikhlas

Keluarga Beng Hock tolak permohonan maaf SPRM, dakwa tak ikhlas

Adik kepada bekas pembantu peribadi ahli politik itu, Lee Lan berkata keluarganya mahukan keadilan bukannya wang pampasan.

Teoh Lee Lan (tiga dari kiri) memegang gambar pegawai SPRM yang didakwa bertanggungjawab atas kematian tragik abangnya Beng Hock.
KUALA LUMPUR:
Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menolak permohonan maaf yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan menyifatkannya sebagai tidak ikhlas dan langsung tidak menunjukkan rasa kesal.

Adik Teoh, Lee Lan, berkata permohonan maaf oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, hanyalah sekadar langkah publisiti tanpa sebarang akauntabiliti atau tindakan susulan yang sebenar.

“Mereka hanya minta maaf kerana melihat kami menderita. Tiada keikhlasan dalam permohonan maaf ini,” kata Lee Lan dalam sidang media.

“Tiada sebarang tindakan diambil terhadap pegawai SPRM yang disyaki terlibat. Kami mahukan keadilan dan kebenaran. Kami mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku di SPRM pada hari tersebut.”

Beliau turut berkata keluarganya tidak menuntut pampasan sebaliknya keadilan.

Katanya, cadangan terdahulu oleh Jabatan Peguam Negara untuk menawarkan pampasan tambahan selepas kembalinya pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada 2022 juga ditolak.

“Apa yang kami tuntut ialah kebenaran dan keadilan. Mereka yang terlibat mesti didakwa dan dihukum mengikut undang-undang. Kami tidak mahu wang.”

Terdahulu, Azam berkata SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada waris Beng Hock bagi kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.

Azam turut menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga Teoh atas penderitaan telah ditanggung sepanjang 16 tahun pemergiannya.

Pada sidang media, Pengerusi Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi, Ng Yap Hwa, berkata nyawa manusia tidak boleh digantikan dengan wang.

Beliau juga secara sinis mencadangkan kepada Azam supaya segera ‘menyerahkan’ lima pegawai SPRM yang disyaki terlibat dalam kematian Beng Hock.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.