
Tengku Zafrul berkata, permintaan terhadap cip AI meningkat di Malaysia disebabkan oleh industri pusat data yang berkembang pesat di negara ini, yang mungkin menimbulkan beberapa kebimbangan di peringkat antarabangsa.
“Pasukan kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, polis dan pemain industri,” katanya pada sidang media laporan kad prestasi kementerian bagi suku kedua 2025.
“Kami juga mengadakan perbincangan dengan AS dan syarikat-syarikat besar bagi memastikan kerjasama. Jika ada bukti yang timbul, kami akan mengambil tindakan segera, tetapi setakat ini, tiada.”
Kementerian minggu ini mengetatkan peraturan eksport bagi cip berprestasi tinggi yang berasal dari AS.
Langkah itu bagi merapatkan jurang kawal selia sambil Malaysia menjalankan semakan lanjut ke atas kemasukan cip AI berprestasi tinggi berasal dari AS dalam senarai item strategik Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA).
Langkah ini menyusul laporan Jabatan Perdagangan AS bercadang menghalang China mendapatkan cip AI canggih Nvidia dengan menyekat penghantaran melalui negara ketiga seperti Malaysia dan Thailand.
Kebimbangan Washington terhadap penyeludupan cip AI ke China meningkat Januari lalu, apabila ia mula menyiasat sama ada negara seperti Singapura digunakan sebagai transit.
Perhatian beralih kepada Malaysia selepas Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam pada 3 Mac lalu berkata pelayan dilengkapi cip Nvidia yang dieksport ke Malaysia mungkin untuk destinasi akhir lain.
Tengku Zafrul ketika itu berkata siasatan tempatan mendapati tiada bukti bahawa pelayan tersebut tiba di pusat data Malaysia seperti didakwa ia dijual.