
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said berkata, Perkara 125(3) dan (4) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku hakim, atas nasihat perdana menteri selepas berbincang dengan ketua hakim negara.
Beliau berkata, perlindungan tambahan turut disediakan di bawah Perkara 125(3A) memperuntukkan kuasa kepada ketua hakim negara merujuk pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Hakim, dan Perkara 12(3B) membolehkan penetapan kod etika bertulis, iaitu Kod Etika Hakim 2009 yang sedang berkuat kuasa.
“Kerangka etika ini bertujuan bagi memastikan badan kehakiman bebas daripada pengaruh politik atau luaran, sekali gus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Proses ini bermakna badan eksekutif dan badan legislatif tidak boleh campur tangan dalam isu etika kehakiman, dan kebebasan ini penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Azalina itu dikeluarkan di tengah-tengah kebimbangan mengenai campur tangan dan integriti badan kehakiman.
Azalina berkata, kerajaan juga mengambil maklum akan kebimbangan yang dibangkitkan Badan Peguam dalam himpunan mempertahankan integriti kehakiman semalam dan menegaskan komitmen untuk menangani isu ini secara bertanggungjawab dan telus, berpandukan Perlembagaan.
Katanya, Badan Peguam akan dijemput untuk menyumbang kepada kajian perbandingan yang sedang dijalankan berhubung pelantikan kehakiman, yang diketuai oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri, bersama Jawatankuasa Pilihan Khas daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh Badan Peguam wajar dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya.
Satu dokumen yang didakwa mengandungi petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman pada Mei lalu tular di media sosial hujung minggu lalu, sehingga menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.
Polis kini sedang menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat itu di bawah Akta Rahsia Rasmi dan dua undang-undang lain.